BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, September 15, 2009

" KELUARGA BAHAGIA "

Konsep Keluarga menurut Islam merupakan institusi penting yang bertanggungjawab melahir, mendidik, mengasuh dan membesarkan anggota-anggota masyarakat. Keutuhan dan kerapuhan sesebuah institusi keluarga mempunyai kesan lansgung yang mendalam terhadap kekuatan ummah. Di dalam hal ini, Islam memberikan perhatian yang cukup serius di dalam masalah pembinaan dan pembangunan institusi keluarga.

Hal ini kerana, pembinaan keluarga Islam yang utuh akan melahirkan sebuah keluarga yang bahagia berlandaskan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Di samping itu, akan lahirlah anak-anak yang soleh dan solehah hasil daripada didikan ibu bapa yang beriman kepada Allah S.W.T. Oleh itu, manusia digalakkan untuk hidup berkeluarga bagi melahirkan zuriat yang dapat menjamin keharmonian rumah tangga serta dapat berbakti kepada agama,masyarakat dan negara.

Terdapat 5 konsep dalam keluarga bahagia:

1 ) al-falah- iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

2 ) keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

3 ) Al-mawaddah war-rahmah- berkasih sayang dan saling kasih mengasihi. Tanpa kasih sayang di antara suami isteri maka akan hancurlah sesebuah rumah tangga yang dibina.

4 ) al-mua’asyarah bil ma’ruf- pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai oleh Allah. Menjauhi kemungkaran dan kezaliman.

5 ) amanah dan tanggungjawab.

Monday, September 7, 2009

MENJAUHI KHURAFAT, TAHYUL DAN AMALAN BOMOH.





TANGKAL PELIK ORANG MELAYU


Khurafat, tahyul dan bomoh merupakan amalan dan kepercayaan yang tidak bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan dan bersifat dusta semata-mata serta sukar untuk mempercayai kebenarannya kerana sesuatu perkara yang menyimpang daripada ajaran Islam. Istilah tahyul pula bermaksud semua cerita sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Kepercayaan ini masih diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam yang menerima kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut agama lain di samping umat Islam itu sendiri yang jahil tentang agama.


BENTUK-BENTUK KHURAFAT DAN TAHYUL:

1 ) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan sebagainya.

2 ) Percaya kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.

3 ) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya.

4 ) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi.

5 ) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana takut terjadi perkara yang tidak baik.

6 ) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka nombor 13 membawa sial atau rajah-rajah tertentu.

7 ) Memuja objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.


Jika kita lihat pada zaman ini, zaman globalisasi yang sedang maju tetapi masih lagi ramai umat Islam yang mempercayai amalan bomoh sehingga sanggup berhabis wang ringgit semata-mata mempercayai bomoh tersebut, akibatnya ramai yang ditipu dan ada juga yang tergadai maruah. Berita yang menggemparkan apabila seorang bomoh sanggup merogol mangsa yang baru mendirikan rumahtangga dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat daripada penyakit yang dihidapinya. Kita lihat betapa kejamnya dunia sekarang manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan wang walaupun menyalahi agama dan undang-undang negara.


Dalam Islam, percaya kepada benda-benda khurafat, tahyul amalan bomoh dan sebagainya serta percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah S.W.T adalah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan kepada Allah. Selain itu, ia juga melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa individu. Umat Islam seharusnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi memartabatkan imej agama Islam yang sebenar.

" KEINDAHAN SIFAT SABAR "

Ketakwaan kepada Allah menuntut kita agar mempunyai sifat sabar dan menguatkan kesabaran kita sepanjang masa. Tanpa sabar mustahil seseorang manusia itu dapat mencapai ketaqwaan yang tinggi terhadap Allah. Sabar merupakan sifat mahmudah yang perlu ada pada setiap manusia. Bersabar merupakan ciri2 orang yang menghadapi pelbagai kesusahan dengan berlapang dada, kemahuan yang kuat serta ketabahan yang luar biasa.


Pertama – Sabar melaksanakan perintah Allah dan suruhannya
Kedua – Bersabar terhadap larangan Allah dan meninggalkannya
Ketiga – Bersabar ketika berhadapan dengan ujian Allah di atas muka bumi ini


Ketika kita berusaha melaksanakan segala suruhan Allah, sifat sabar itu amatlah penting kerana kesempurnaan amal dan pekerjaan yang berkualiti akan terhasil dengan kesabaran. Kita akan meninggalkan solat lima waktu, kalau kita tidak sabar, kita tidak akan melakukan puasa dibulan Ramadhan, sekiranya kita tidak sabar, maka kita tidak sanggup berdakwah. Jika kita tidak sabar, maka segala amalan-amalan dan pekerjaan tidak akan terlaksana. Kalau tidak disertai dengan kesabaran, walaupun kita amalkan suruhan Allah, kemungkinan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, jika kita berwuduk, wuduk yang tidak sempurna, jika kita mengangkat takbiratulikhram, kita bertakbir dengan cara yang tidak sempurna. Jika kita ruku' dan sujud, maka kita ruku' dan sujud dalam keadaan tidak sempurna. Kerana kita inginkan agar selawat kita cepat selesai walaupun kurang atau tidak sempurna.


Begitulah juga dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Ramai pendakwah dan pendidik yang kurang sabar dengan kerja-kerja kebaikan itu. Cepat marah dengan telatah orang-orang yang di dakwah dan didik itu. Kita lihat sekarang berapa ramai para pendidik dan pendakwah yang hilang ilmu psikologinya, hilang ilmu komunikasinya, hilang ilmu metedologi dakwahnya lantaran kerana tidak sabar dengan karenah dan halangan-halangan daripada orang-orang yang didakwahkannya atau didikannya.


Di dalam kerja-kerja dakwah dan pendidikan sepatutnya para pendidik dan pendakwah perlu banyak bersabar. Bersabar menghadapi dugaan dan rintangan dan bersabar menanti kejayaan. Kita perlu contohi sikap para nabi dan rasul dalam menjalankan tugas mereka berdakwah. Sebagaimana penjelasan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. , yang bermaksud : aku masih terbayang Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi daripada nabi-nabi sebelum Rasulullah yang disiksa (pukul) oleh kaumnya hingga berlumuran darah. Dia mengesat darah mukanya sambil membaca, yang bermaksud ya Allah ampunilah kaumku oleh kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.


Keindahan sabar ini terbukti apabila kita berjaya menjauhkan diri dan mencegah diri daripada mengerjakan perkara-perkara mungkar walaupun kita berpeluang melakukannya. Ramai orang yang mendakwa bahawa dirinya akan bersabar dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dakwaan ini mungkin benar ketika kita tidak berpeluang melakukan kejahatan. Tetapi bagaimana kalau sekiranya kita berpeluang malah diberi tawaran dan kemudahan untuk melakukan kemungkaran . Kita tidak melakukan zina kerana kita tidak berpeluang melakukannya, Kita tidak melakukan pecah amanah, ketika kita tidak berpeluang melakukannya. Tetapi apakah kita tidak akan melakukan zina dan pecah amanah walaupun kita berpeluang atau diberi tawaran melakukannya?


Walaubagaimanapun janganlah kita meminta kepada Allah agar kita diuji kesabaran dan keimanan kita kerana kemungkinan kita tidak dapat bersabar sebagaimana yang dikehendaki.
Satu perkara lagi yang amat dituntut agar kita benar-benar bersabar ialah ketika kita menghadapi musibah. Kita dianggap orang yang berjaya apabila kita benar-benar bersabar dalam menghadapi musibah. Musibah ini ialah apa sahaja perkara yang kita tidak suka, tidak senang dengannya. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Kita kurang senang dan tidak sabar apabila kita gagal mendapat sesuatu atau kita kehilangan sesuatu atau terkurangnya sesuatu hak milik kita.

Tidak sabar menghadapi musibah ini menyebabkan ramai dikalangan kita merasai hidupnya tertekan, putus asa, jiwanya selalu memberontak, marah dengan qada' dan takdir Allah, rendah diri dan sebagainya. Tetapi alangkah indahnya hidup seorang yang beriman, sentiasa bersabar menghadapi dugaan dan ujian Allah. Dan sentiasa bertawakal kepada Allah subhanahua ta'ala.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156
Maksudnya : " (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan (musibah) mereka berkata (sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali) "
Kesimpulannya di sini, sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah bersabar supaya dirahmati Allah diberi kemenangan di dunia dan akhirat.

KEMAHIRAN MENGURUS MASA

Masa adalah kehidupan. Umat Islam dididik oleh agama supaya sentiasa mementingkan masa. Setiap hari umat Islam perlu peka dengan masa paling kurang untuk mengenal pasti waktu-waktu solat yang difardukan kerana solat hanya sah apabila dilakukan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud, “ demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Antara taktik penting untuk menguruskan masa:
1 ) Tentukan keutamaan anda
2 ) Rangcanglah masa depan dan tulis rangcangan tersebut.
3 ) Kuasai jalan pintas. Kemahiran membaca dengan laju, menulis dengan cepat untuk menjimatkan masa.
4 ) Belajar berkata “ maaf tidak boleh ” kepada jemputan dan pekerjaan yang tidak penting.
5 ) Delegasikan kerja yang dapat dilakukan oleh orang lain.
6 ) Melaburlah untuk kursus dan seminar yang menajamkan kemahiran diri.
7 ) Memanfaatkan teknologi seperti komputer gunakan lah dengan sebaiknya.
8 ) Jangan menangguhkan kerja
9 ) Seimbangkan hidup untuk kerjaya, keluarga, dan masyarakat. merancang dengan baik.

Sunday, September 6, 2009

" PENDIDIKAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK "



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T dan selawat serta salam ditujukan kepada baginda Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Syukur kehadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada saya untuk berkongsi maklumat dengan sahabat-sahabat semua mengenai isu pendidikan anak-anak. Semoga apa yang ingin saya katakan di sini dapat membantu sahabat-sahabat yang sama-sama bercita-cita untuk melahirkan anak-anak yang bersifat muttaqin kepada Allah S.W.T.

Islam telah menjelaskan kepada kita betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak sedari kecil lagi. Anak-anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang paling berharga dan tidak ternilai serta wajib dipelihara sebaik-baiknya oleh ibu bapa, ia juga sebagai pengerat kasih sayang di antara pasangan suami isteri. Dalam masyarakat kita juga orang selalu mengatakan bahawa anak-anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih yang bersih, maka ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-anak melalui pendidikan agama yang mantap sejak dari kecil lagi melalui penekanan aspek akidah, akhlak dan syariah. Matlamat pendididkan Islam pula adalah untuk melahirkan dan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam bagi mewujudkan insan yang soleh dan solehah bagi menjadikan anak-anak yang berbuat baik kepada manusia lain dengan falsafah hidupnya mencari keredhaan Allah S.W.T.

Bagi mendidik anak-anak yang soleh memerlukan seseorang pendidik ( ibu bapa ) yang soleh juga. Pepatah Arab ada menyebut “ orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan mampu memberi ”, ini bererti ibu bapa perlulah menjadi contoh tauladan yang baik serta muslim yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, Islam telah menganjurkan kepada setiap pasangan lelaki atau perempuan supaya memilih pasangan hidup yang beragama dan berakhlak. Tujuannya adalah untuk melahirkan sebuah keluarga Islam yang mampu melahirkan generasi Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah serta cemerlang kepada masyarakat.

Terdapat beberapa pendekatan dalam mendidik anak-anak:

1 ) Pendidikan melalui contoh tauladan
- merupakan pendidikan yang penting dalam mendidik dan membentuk akhlak anak-anak.
-ibu bapa memainkan peranan yang penting sebagai contoh dan ikutan buat anak-anak.
2 ) Pendidikan melalui bimbingan dan nasihat
-dengan menanamkan unsur iman dan menyentuh fitrah mereka.
3 ) Pendidikan melalui pemerhatian dan pengawasan
-sentiasa mengawasi setiap tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan budaya barat.
4 ) Pendidikan melalui hukuman
-Ibu bapa menggunakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan anak-anak, bukan untuk menghukum tetapi sebagai pengajaran agar anak-anak insaf dan tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Thursday, September 3, 2009

" BERTAFAKUR DAN BERSYUKURLAH "

Manusia diingatkan supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita sebagai hambaNya. Nikmat itu meliputi dari atas kepala dan dari bawah tapak kaki kita. " dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya ". kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air yang bersih. Ingatlah kita dikurniakan dengan mempunyai dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, maka gunakanlah nikmat Allah itu sebaik yang mungkin dalam melaksanakan amal kebajikan kepada Allah S.W.T. Adakah menjadi satu masalah bagi kita sekiranya kita tidak mampu berjalan dengan menggunakan kedua belah kaki, bagaimana jika kedua-duanya kudung? Adakah satu hal yang kecil bagi kita yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahan sakit yang menimpa dirinya? Adakah kita tidak berasa bersyukur dengan nikmat Allah apabila dihidangkan dengan makanan yang lazat dan minuman yang sedap-sedap, tidak tersentuhkah hati kita apabila ada manusia lain yang hidup dalam kemiskinan dan kebuluran, maka wajiblah bagi kita mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita...

sesungguhnya kita sedang dilimpahi oleh Allah dengan nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi kita tidak menyedarinya. mengapa kita bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama kita mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur dengan lenanya tanpa sebarang gangguan, dan sihat tubuh badan? kita terus menangisi apa yang telah hilang dari kita, bukan mensyukuri apa yang sudah kita punyai. kita susah hati apabila ujian menimpa kita seperti mengalami kerugian harta benda, sedangkan di tangan kita ada anak kunci kebahagiaan, gudang kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain..berfikir dan renungkanlah bahawa setiap ujian yang melanda diri kita itu merupakan ujian dari Allah untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T...