BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 3, 2009

nukilan hati...

Duhai sahabatku..
Aku selalu merinduimu,
Namun jarak yang jauh dan kesibukan menyebabkan kita semakin jauh,
Aku berdoa agar dirimu berada dibawah payungan Ilahi,
Semoga Allah merahmatimu,
Wahai sahabatku…

Masih jelas di ingatanku ketika kita sama-sama di alam persekolahan,
Ke sana ke sini,kau dan aku pasti berjalan bersama,
Sehingga rakan-rakan dan guru mengatakan kita sebagai kembar yang tidak dapat dipisahkan..
Namun,semua itu hanya sementara,
Aku dan kau berpisah juga,
Apabila aku mendapat tawaran menyambut pelajaran di Universiti,
Perasaan sedih bercampur gembira apabila diri ini berjaya menjejakkan kaki ke Universiti..

Duhai sahabat..
Hanya diri ini sahaja yang memahami dirimu..
Aku telah mendapat berita bahawa dirimu juga mendapat tawaran belajar,
Namun kerana kesempitan hidup kau tidak dapat menyambung pelajaranmu..
Aku turut bersimpati denganmu,
Namun, jauh disudut hati ini aku tetap mendoakan kejayaanmu..
Setelah beberapa tahun aku di Universiti dan berjaya mendapat pekerjaan,
Aku mendapat berita bahawa salah seorang sahabat yang aku sayangi telah kembali menghadap Ilahi,

Pada 1 mei 2009 jam 1.30 pagi sahabatku ( nurul Huda ) telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dan pada 30 mei 2009 itu juga adalah tarikh di mana sahabatku yang meninggal dunia itu akan melangsungkan perkahwinan..namun semua itu kuasa Allah kerana Dia lebih menyayangi sahabatku...marilah kita sama-sama mendoakan dan menyedekahkan al-fatihah buat sahabatku..semoga rohnya di tempatkan di tempat orang-orang yang beriman...



Duhai sahabat..
Pada syawal yang datang kembali dengan seribu kegembiraan dan kesedihan,
Aku telah dipertemukan dengan sahabat yang amat aku sayangi dengan izin Allah Taala
Kami berbual panjang dan berkongsi cerita,
Aku amat terkejut apabila mengetahui bahawa dirimu telah memutuskan tali pertunangan yang baru menjejakkan usia hampir setahun,
Aku juga kagum dengan dirimu kerana tabah menghadapi saat kekecewaan di alam pertunangan yang mana di katakan sebagai tempoh seseorang itu untuk mengenali pasangan masing-masing..

Duhai sahabat..
Usahlah kau kecewa dan putus asa,
Kerana aku yakin suatu hari nanti pasti dirimu akan bertemu insan yang mencintai dirimu kerana Allah Taala...yakinlah janji Allah itu wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik..bersabarlah wahai sahabatku di atas ujian yang menimpa dirimu..

" ISLAM DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA "


Dalam hubungan antarabangsa Islam mengutamakan perdamaian daripada peperangan. Islam menetapkan peperangan boleh dilakukan sekadar untuk menentang kezaliman dan mempertahankan agama dengan tidak melampaui batas. Dalam hubungan dakwah, islam melarang keras terhadap mereka yang mengajak secara paksaan untuk memeluk agama Islam. Kebebasan menganut agama yang lain diizinkan dalam masyarakat Islam dan di peringkat antarabangsa. Kebebasan ini tidak boleh diganggu gugat kerana Islam menentang sekeras-kerasnya secara saksama dan adil tanpa melampaui batas. Apabila berlakunya peperangan dan semasa dipertengahan peperangan pihak musuh ingin berdamai maka hendaklah dihentikan peperangan dan perlu berdamai dengan mereka.


Islam membenarkan hubungan dagang dengan orang bukan Islam, walaupun dengan rakyat daripada negara yang tidak ada hubungan dengan negara Islam. Hak kemanusiaan dan hubungan Islam dipisahkan dengan seadilnya. Hal ini kerana, permusuhan dengan mana-mana negara tidak akan dikaitkan dengan individu atau rakyat. Mereka dibenarkan datang ke negara Islam dan boleh melakukan kegiatan yang tidak menunjukkan permusuhan dengan umat Islam. Dasar terbuka ini menyebabkan matlamat Islam tersebar luas hingga ke pelusuk dunia.


Al-quran menjadi panduan dalam melayani pelarian atau pendatang yang masuk ke negara Islam kerana melarikan diri daripada kezaliman negerinya. Firman Allah Taala dalam surau at-Taubah: 6 : “ sekiranya seseorang di kalangan musyrikin datang meminta perlindungan kepadamu, maka hendaklah diberi perlindungan kepadanya, dan perdengarkan kepadanya kalam Allah, kemudian sampaikan dia ke tempat yang aman untuknya ”. Negara Islam adalah sebuah negara yang tidak mahukan peperangan dan mewujudkan perdamaian serta menjaga hak bukan Islam yang tinggal di negara Islam.



" PERGAULAN BEBAS "


Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah S.W.T, saya mendoakan agar sahabat-sahabat berada dalam keadaan sihat dibawah payungan ilahi. Syukur kita kehadrat Ilahi kerana kita masih lagi bernafas di bumi Allah ini dalam keadaan yang aman dan harmoni. Apa yang ingin saya kongsikan kepada sahabat-sahabat adalah mengenai isu penuntut IPT Islam sekarang, yang mana kita lihat pada hari ini banyak berlakunya pergaulan bebas, keluar malam berpeleseran dan sebagainya.


Hal ini merupakan gejala yang tidak sihat dan amat membimbangkan apabila mereka menganggap budaya pergaulan bebas itu tidak menyalahi undang-undang.


Kebebasan merupakan sesuatu yang dicari oleh manusia, tetapi yang menakutkan ialah kebebasan yang membuatkan manusia itu terbabas ke lembah yang hina, bebas daripada ikatan agama. Bebas dalam pergaulan amat dibimbangi kerana tiadanya batasan antara lelaki dan perempuan sehingga boleh menyebabkan mereka terjerumus ke lembah maksiat. Berkawan memang boleh untuk belajar, berkenalan dan bersembang tetapi janganlah sampai tidak terkawal akhirnya terjerumus kepada zina.


Berzina atau melakukan hubungan seks sudah menjadi perkara biasa dalam dunia kita hari ini, mereka menganggap ia soal peribadi. Percintaan tanpa batasan dan pergaulan yang bebas ini meyebabkan ramai golongan muda mudi terjebak dengan seks bebas sehingga mereka terlupa akan tujuan mereka datang ke universiti adalah untuk menimba ilmu sebanyak yang boleh sebagai bekalan pada masa akan datang. Pemuda harapan bangsa itulah cogan kata kita, tetapi adakah pemuda dan pemudi hari ini menjadi harapan seperti apa yang kita impikan?


Penuntut IPT sekarang lebih suka kepada pergaulan bebas sehingga ada yang terlibat dengan maksiat yang menyebabkan kaum wanita hamil dan dipihak lelaki mengambil jalan yang mudah dengan menyuruh melakukan pengguguran kerana tidak mahu bertanggungjawab. Keinsafan wanita untuk bertaubat dan melahirkan zuriat tersebut menyebabkan si lelaki terus menghilangkan diri dan memutuskan perhubungan.



Hal ini amat mnyedihkan bagi kaum hawa kerana mereka dijadikan bahan eksperimen buat lelaki…akhirnya, ramailah kaum wanita yang melahirkan anak luar nikah tanpa ada ikatan perkahwinan yang suci. Setelah melahirkan, si wanita memberikan anak tersebut kepada keluarga angkat dan meneruskan kehidupan yang baru dan melupakan segala kesengsaraan hidup bergelumang dengan dosa…. Sebagai pengajarannya, janganlah mudah terpengaruh dengan budaya luar dan sebagai wanita hiasilah diri itu dengan akhlak yang mulia dan jagalah kehormatan diri......


CINTA ABADI...

SAJAK AMINAH QUTB KEPADA SUAMINYA

Sekiranya kita Cinta kepada manusia,

Tidak semestinya manusia Cinta kpd Kita,

Tetapi sekiranya kita Cinta kpd Allah,

Nescaya Cinta Allah tiada penghujungnya.


Sekiranya kita cinta kepada manusia,

Kita akan cemburu kpd orang

Yang mencintai orang yang kita Cintai,

Tetapi sekiranya kita Cinta kpd Allah,

Kita akan turut mencintai orang yg

Melabuhkan Cintanya kpd Allah juga,


Ya Allah, andainya dia adalah jodoh,

Yang ditetapkan olehMu kpd ku,

Maka campakkanlah dlm hatiku Cinta kpdnya adalah KeranaMU..

Dan campakkanlah dlm hatinya ,

Cinta kpd ku adalah keranaMu,

Namun andainya dia bukanlah jodoh,

Yang ditetapkan olehMu Kepadaku,

Berikanlah ku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi

Ujian yg kau berikan kepadaku..


Ya Allah, jika aku jatuh Cinta,

Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan

Cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu..

Ya Muhaimin, jika aku jatuh Cinta,

Jagalah Cintaku padanya agar tidak melebihi Cintaku padaMu..


Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,

Jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling padaMu..

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,

Rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu,

Ya Allah, jika aku rindu,

Jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurgaMu,

Ya Allah, jika aku menikmati Cinta kekasihMu,

Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu..


Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu,

Janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu..

Ya Allah, jika kau halalkan aku merindui kekasihMu,

Jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada Cinta yang Hakiki dan Rindu Abadi hanya padaMU Ya ALLAH...


" SKOP DAN PERLAKSANAAN SYARIAH ISLAM "


Skop syariah Islam meliputi 3 aspek:

1 ) Hubungan manusia dengan Allah S.W.T dan alam ghaib yang lain

2 ) Hubungan manusia sesama manusia

3 ) Hubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi seperti haiwan, benda atau tumbuh-tumbuhan.


Dalam aspek perlaksanaan kepada perintah dan larangan Allah Taala terbahagi kepada 3 aspek:


1 ) kewajipan yang menjadi tanggungjawab individu serta harus dilaksanakan di peringkat individu. Contohnya perintah-perintah khusus terhadap individu dalam konteks hubungan secara langsung manusia dengan penciptanya iaitu dalam ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain.


2 ) Perintah supaya dilaksanakan secara kolektif atau berjamaah yang merupakan tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Contohnya, seperti perintah berdakwah yang menjadi tanggungjawab bagi setiap mereka yang beragama Islam untuk menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, melaksanakan jihad dan tuntutan fardu kifayah yang lain.


3 ) Perintah yang tidak mampu atau tidak boleh dilaksanakan diperingkat individu atau kelompok tetapi ia menjadi tugas serta kewajipan pemerintah. Perintah ini berkaitan dengan perlaksanaan hukuman bagi kesalahan jenayah seperti hudud, qisas dan ta’zir.


Jelaslah di sini pembahagian ini menunjukkan tanggungjawab serta peranan yang harus dimainkan oleh setiap umat Islam sama ada diperingkat individu, masyarakat dan negara. Hal ini menunjukkan kesyumulan agama Islam itu.


CIRI-CIRI PERUNDANGAN ISLAM

Undan-undang Islam merupakan ciptaan Allah S.W.T yang mempunyai ciri-ciri khusus dan berbeza dengan sistem perundangan ciptaan manusia. Antara cirri-ciri perundangan Islam ialah:


1 ) Berorientasikan wahyu

- ia adalah syariat Rabbani kerana sumber utama syariah ialah wahyu Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad dengan 2 pendekatan. Pertama, wahyu dalam bentuk lafaz dan makna iaitu al-Quran, dan kedua wahyu dalam bentuk makna sahaja iaitu al-Sunnah.



2 ) Ganjaran bersifat dunia dan akhirat

- ganjaran di akhirat adalah yang utama, manakala di dunia hanyalah untuk menjaga kemaslahatan individu dan masyarakat di dunia. Segala kesalahan manusia dalam kehidupan ini tidak akan terlepas begitu sahaja walaupun telah dikenakan hukuman di dunia sekiranya tidak bertaubat kepada Allah S.W.T.


3 ) Bersifat Universal

- syariat Islam bersifat universal iaitu meliputi semua tempat dan masa yang mana mampu untuk menjamin kemaslahatan dan keperluan manusia sepanjang masa.


4 ) Syumul dan lengkap

- Kesyumulan Islam merangkumi segenap aspek hidup manusia, memenuhi segala kepentingan manusia sama ada dalam bentuk daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Ia mengatur hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.


5 ) Sepadu dan seimbang


- Seluruh ajaran Islam dan sistem-sestemnya ditegakkan di atas dasar sepadu. Setiap bahagian mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Oleh itu, umat Islam perlu mengamalkan syariat Islam ini secara menyeluruh dan bukanlah mengambil sebahagian tertentu sahaja.


6 ) Tetap dan anjal

- Ciri ini membawa maksud bahawa segala prinsip dan dasar syariah Islam yang ditentukan Allah taala adalah bersifat tetap dan tidak boleh diubah oleh individu lain.



Thursday, October 1, 2009

" POLITIK DAN AMANAH "


Golongan yang banyak terlibat dalam melaksanakan hukum adalah golongan politik yang memerintah negara. Mereka ini bertanggungjawab melaksanakan tugas negara dengan adil dan amanah. Hal ini menunjukkan politik Islam yang sebenar adalah memerintah dengan adil mengikut hukum Allah.


Kita sebagai rakyat diberi pilihan untuk melantik pemimpin yang amanah dan adil serta menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menasihati pemimpin yang zalim kerana ia merupakan jihad yang paling afdal. Jelaslah kepada kita, urusan pemerintahan hendaklah diserahkan kepada orang yang benar-benar layak dari segi iman, ilmu dan akhlak yang baik, bukan dipengaruhi oleh hubungan keluarga, harta, ugutan, terlibat dengan rasuah dan sebagainya.


Islam mendahului demokrasi Barat, memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang layak dan haram patuh kepada pemimpin yang zalim. Allah berfirman dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud: “ jangan sekali-kali cenderung kepada orang-orang yang zalim, nescaya kamu disentuh api neraka. ”


walaupun begitu, kita lihat sekarang dunia politik kita pada hari ini penuh dengan tipu daya, rasuah, penipuan dan sebagainya semata-mata untuk mendapat kemenangan diri sendiri dan bukan untuk kemaslahatan rakyat, akibatnya umat Islam sesama kita bergaduh dan tidak mahu bekerjasama untuk kemajuan umat Islam demi agama bangsa dan negara, hilanglah sikap kepimpinan yang adil dan amanah.


Remove Formatting from selection


" KEINDAHAN BULAN SYAABAN "



Rejab sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Beruntunglah mereka yang mengambil peluang pada bulan rejab dengan melakukan amal kebajikan. Kini muncul pula bulan syaaban. Bulan rejab adalah bulan kesempatan untuk kita meminta ampun dari segala dosa, bulan syaaban pula adalah kesempatan kita untuk memperbaiki diri dari segala macam cela manakala bulan ramadan adalah bulan untuk mengubat hati dan jiwa.

Keutamaan syaaban:

Allah S.W.T mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Allah juga mengurniakan rahmat kepada hambaNya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “ allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.”

Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara dari maksiat. Taubatnya diterima. Rasulullah bersabda yang bermaksud: barang siapa yang membesarkan syaaban dan bertakwa kepada Allah S.W.T serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit.”

AMALAN PADA BULAN SYAABAN

1 ) memperbanyakkan puasa sunat iaitu pada hari isnin dan khamis
2 ) perbanyakkan doa, zikir, dan berselawat ke atas nabi
3 ) memohon taubat

MALAM NISFU SYAABAN

Malam 15 syaaban, pada malam tersebut umat Islam digalakkan untuk memanfaatkan malam tersebut kerana penuh dengan rahmat dan doa sangat mustajab. Hari nisfu syaaban merupakan hari pertukaran buku catatan amalan kita selama setahun akan di angkat ke langit dan digantikan dengan buku catatan yang baru.

Selepas berakhirnya bulan syaaban maka tiba pula bulan ramadan untuk umat Islam melakukan amal ibadah dan merebut pula malam lailatul Qadar. kita sebagai umat Islam perlulah mengejar 3 bulan tersebut untuk meningkatkan segala amalan kita kepada Allah S.W.T...

" SISTEM ZAKAT "


KEWAJIPAN ZAKAT

Setiap kedudukan ekonomi yang membawa harta kekayaan hanya beredar di antara orang-orang yang kaya sahaja itu adalah bertentangan dengan teori perekonomian Islam di samping bertentangan dengan matlamat pembangunan kemasyarakatan seluruhnya. Islam juga telah mengharamkan amalan monopoli dan riba’ yang boleh menyebabkan penindasan kepada golongan miskin. Ringkasnya, Islam telah menetapkan sistem ekonomi yang dapat memberi kemakmuran kepada masyarakat dengan pengeluaran zakat.


Zakat dari sudut bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Dari sudut syarak pula, zakat didefinisikan sebagai sebahagian harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya. Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dan wajib bagi mereka yang berkemampuan itu untuk mengeluarkan zakat. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah:267, ada menyebut berbelanjalah ( pada jalan Allah ) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.


ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT


1 ) fakir

2 ) orang miskin

3 ) amil zakat

4 ) orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya.

5 ) hamba yang ingin memerdekakan dirinya.

6 ) orang yang berhutang.

7 ) orang yang berjuang fi sabilillah

8 ) ibnu sabil


HIKMAH ZAKAT


1 ) pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat.

2 ) zakat juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut.

3 ) sebagai benteng keamanan di dalam sistem ekonomi Islam dan penjamin ke arah kestabilan dan kesinambungannya.

" HUKUMAN HUDUD "




gejala minum arak

Gejala jenayah menjadi penyakit masyarakat yang parah pada masa kini. Hilangnya rasa kasih sayang dan saling bertimbang rasa akibat daripada pengaruh persekitaran yang tidak sihat. Penyelesaian terhadap gejala jenayah ini tidak seharusnya dalam aspek perundangan sahaja, malah menjadi kewajipan kepada masyarakat untuk membanteras masalah jenayah ini. Undang-undang jenayah bertujuan memelihara rukun kehidupan manusia iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Islam membahagikan undang jenayah kepada tiga jenis iaitu hudud, qisas dan ta’zir.



Hukuman hudud ialah hukuman terhadap kesalahan jenayah yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, ia berkaitan dengan hak Allah. Hukum hudud tidak boleh diampun, setelah dibawa ke mahkamah dan diputuskan dengan tiada apa-apa kelemahan yang dibangkitkan. Antara kesalahan yang dikenakan hudud ialah murtad, zina, minum arak, mencuri.



Walau bagaimanapun, negara kita masih lagi tidak mengamalkan hukuman hudud bagi menyelesaikan masalah jenayah di negara ini. Hal ini kerana, hukuman terhadap kesalahan hudud sangat keras dan menggerunkan sehingga memberi kesan psikologi yang mendalam ke dalam diri setiap rakyat. Ia bukan sahaja menakutkan penjenayah, malah memberi pengajaran kepada mereka yang tidak melakukan jenayah



Banyak kekeliruan dicetuskan oleh berbagai-bagai pihak yang tidak memahami hukum Islam secara terperinci dan hikmahnya. Mereka beranggapan hukum hudud itu bersifat kejam sehingga sanggup membunuh dan sebagainya. Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlulah memperbetulkan kembali fahaman sesetengah pihak yang salah anggap tentang Islam agar tidak berlaku perselisihan dan kekeliruan di kemudian hari.







Tuesday, September 15, 2009

" KELUARGA BAHAGIA "

Konsep Keluarga menurut Islam merupakan institusi penting yang bertanggungjawab melahir, mendidik, mengasuh dan membesarkan anggota-anggota masyarakat. Keutuhan dan kerapuhan sesebuah institusi keluarga mempunyai kesan lansgung yang mendalam terhadap kekuatan ummah. Di dalam hal ini, Islam memberikan perhatian yang cukup serius di dalam masalah pembinaan dan pembangunan institusi keluarga.

Hal ini kerana, pembinaan keluarga Islam yang utuh akan melahirkan sebuah keluarga yang bahagia berlandaskan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Di samping itu, akan lahirlah anak-anak yang soleh dan solehah hasil daripada didikan ibu bapa yang beriman kepada Allah S.W.T. Oleh itu, manusia digalakkan untuk hidup berkeluarga bagi melahirkan zuriat yang dapat menjamin keharmonian rumah tangga serta dapat berbakti kepada agama,masyarakat dan negara.

Terdapat 5 konsep dalam keluarga bahagia:

1 ) al-falah- iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

2 ) keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

3 ) Al-mawaddah war-rahmah- berkasih sayang dan saling kasih mengasihi. Tanpa kasih sayang di antara suami isteri maka akan hancurlah sesebuah rumah tangga yang dibina.

4 ) al-mua’asyarah bil ma’ruf- pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai oleh Allah. Menjauhi kemungkaran dan kezaliman.

5 ) amanah dan tanggungjawab.

Monday, September 7, 2009

MENJAUHI KHURAFAT, TAHYUL DAN AMALAN BOMOH.





TANGKAL PELIK ORANG MELAYU


Khurafat, tahyul dan bomoh merupakan amalan dan kepercayaan yang tidak bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan dan bersifat dusta semata-mata serta sukar untuk mempercayai kebenarannya kerana sesuatu perkara yang menyimpang daripada ajaran Islam. Istilah tahyul pula bermaksud semua cerita sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Kepercayaan ini masih diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam yang menerima kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut agama lain di samping umat Islam itu sendiri yang jahil tentang agama.


BENTUK-BENTUK KHURAFAT DAN TAHYUL:

1 ) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan sebagainya.

2 ) Percaya kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.

3 ) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya.

4 ) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi.

5 ) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana takut terjadi perkara yang tidak baik.

6 ) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka nombor 13 membawa sial atau rajah-rajah tertentu.

7 ) Memuja objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.


Jika kita lihat pada zaman ini, zaman globalisasi yang sedang maju tetapi masih lagi ramai umat Islam yang mempercayai amalan bomoh sehingga sanggup berhabis wang ringgit semata-mata mempercayai bomoh tersebut, akibatnya ramai yang ditipu dan ada juga yang tergadai maruah. Berita yang menggemparkan apabila seorang bomoh sanggup merogol mangsa yang baru mendirikan rumahtangga dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat daripada penyakit yang dihidapinya. Kita lihat betapa kejamnya dunia sekarang manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan wang walaupun menyalahi agama dan undang-undang negara.


Dalam Islam, percaya kepada benda-benda khurafat, tahyul amalan bomoh dan sebagainya serta percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah S.W.T adalah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan kepada Allah. Selain itu, ia juga melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa individu. Umat Islam seharusnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi memartabatkan imej agama Islam yang sebenar.

" KEINDAHAN SIFAT SABAR "

Ketakwaan kepada Allah menuntut kita agar mempunyai sifat sabar dan menguatkan kesabaran kita sepanjang masa. Tanpa sabar mustahil seseorang manusia itu dapat mencapai ketaqwaan yang tinggi terhadap Allah. Sabar merupakan sifat mahmudah yang perlu ada pada setiap manusia. Bersabar merupakan ciri2 orang yang menghadapi pelbagai kesusahan dengan berlapang dada, kemahuan yang kuat serta ketabahan yang luar biasa.


Pertama – Sabar melaksanakan perintah Allah dan suruhannya
Kedua – Bersabar terhadap larangan Allah dan meninggalkannya
Ketiga – Bersabar ketika berhadapan dengan ujian Allah di atas muka bumi ini


Ketika kita berusaha melaksanakan segala suruhan Allah, sifat sabar itu amatlah penting kerana kesempurnaan amal dan pekerjaan yang berkualiti akan terhasil dengan kesabaran. Kita akan meninggalkan solat lima waktu, kalau kita tidak sabar, kita tidak akan melakukan puasa dibulan Ramadhan, sekiranya kita tidak sabar, maka kita tidak sanggup berdakwah. Jika kita tidak sabar, maka segala amalan-amalan dan pekerjaan tidak akan terlaksana. Kalau tidak disertai dengan kesabaran, walaupun kita amalkan suruhan Allah, kemungkinan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, jika kita berwuduk, wuduk yang tidak sempurna, jika kita mengangkat takbiratulikhram, kita bertakbir dengan cara yang tidak sempurna. Jika kita ruku' dan sujud, maka kita ruku' dan sujud dalam keadaan tidak sempurna. Kerana kita inginkan agar selawat kita cepat selesai walaupun kurang atau tidak sempurna.


Begitulah juga dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Ramai pendakwah dan pendidik yang kurang sabar dengan kerja-kerja kebaikan itu. Cepat marah dengan telatah orang-orang yang di dakwah dan didik itu. Kita lihat sekarang berapa ramai para pendidik dan pendakwah yang hilang ilmu psikologinya, hilang ilmu komunikasinya, hilang ilmu metedologi dakwahnya lantaran kerana tidak sabar dengan karenah dan halangan-halangan daripada orang-orang yang didakwahkannya atau didikannya.


Di dalam kerja-kerja dakwah dan pendidikan sepatutnya para pendidik dan pendakwah perlu banyak bersabar. Bersabar menghadapi dugaan dan rintangan dan bersabar menanti kejayaan. Kita perlu contohi sikap para nabi dan rasul dalam menjalankan tugas mereka berdakwah. Sebagaimana penjelasan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. , yang bermaksud : aku masih terbayang Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi daripada nabi-nabi sebelum Rasulullah yang disiksa (pukul) oleh kaumnya hingga berlumuran darah. Dia mengesat darah mukanya sambil membaca, yang bermaksud ya Allah ampunilah kaumku oleh kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.


Keindahan sabar ini terbukti apabila kita berjaya menjauhkan diri dan mencegah diri daripada mengerjakan perkara-perkara mungkar walaupun kita berpeluang melakukannya. Ramai orang yang mendakwa bahawa dirinya akan bersabar dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dakwaan ini mungkin benar ketika kita tidak berpeluang melakukan kejahatan. Tetapi bagaimana kalau sekiranya kita berpeluang malah diberi tawaran dan kemudahan untuk melakukan kemungkaran . Kita tidak melakukan zina kerana kita tidak berpeluang melakukannya, Kita tidak melakukan pecah amanah, ketika kita tidak berpeluang melakukannya. Tetapi apakah kita tidak akan melakukan zina dan pecah amanah walaupun kita berpeluang atau diberi tawaran melakukannya?


Walaubagaimanapun janganlah kita meminta kepada Allah agar kita diuji kesabaran dan keimanan kita kerana kemungkinan kita tidak dapat bersabar sebagaimana yang dikehendaki.
Satu perkara lagi yang amat dituntut agar kita benar-benar bersabar ialah ketika kita menghadapi musibah. Kita dianggap orang yang berjaya apabila kita benar-benar bersabar dalam menghadapi musibah. Musibah ini ialah apa sahaja perkara yang kita tidak suka, tidak senang dengannya. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Kita kurang senang dan tidak sabar apabila kita gagal mendapat sesuatu atau kita kehilangan sesuatu atau terkurangnya sesuatu hak milik kita.

Tidak sabar menghadapi musibah ini menyebabkan ramai dikalangan kita merasai hidupnya tertekan, putus asa, jiwanya selalu memberontak, marah dengan qada' dan takdir Allah, rendah diri dan sebagainya. Tetapi alangkah indahnya hidup seorang yang beriman, sentiasa bersabar menghadapi dugaan dan ujian Allah. Dan sentiasa bertawakal kepada Allah subhanahua ta'ala.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156
Maksudnya : " (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan (musibah) mereka berkata (sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali) "
Kesimpulannya di sini, sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah bersabar supaya dirahmati Allah diberi kemenangan di dunia dan akhirat.

KEMAHIRAN MENGURUS MASA

Masa adalah kehidupan. Umat Islam dididik oleh agama supaya sentiasa mementingkan masa. Setiap hari umat Islam perlu peka dengan masa paling kurang untuk mengenal pasti waktu-waktu solat yang difardukan kerana solat hanya sah apabila dilakukan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud, “ demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Antara taktik penting untuk menguruskan masa:
1 ) Tentukan keutamaan anda
2 ) Rangcanglah masa depan dan tulis rangcangan tersebut.
3 ) Kuasai jalan pintas. Kemahiran membaca dengan laju, menulis dengan cepat untuk menjimatkan masa.
4 ) Belajar berkata “ maaf tidak boleh ” kepada jemputan dan pekerjaan yang tidak penting.
5 ) Delegasikan kerja yang dapat dilakukan oleh orang lain.
6 ) Melaburlah untuk kursus dan seminar yang menajamkan kemahiran diri.
7 ) Memanfaatkan teknologi seperti komputer gunakan lah dengan sebaiknya.
8 ) Jangan menangguhkan kerja
9 ) Seimbangkan hidup untuk kerjaya, keluarga, dan masyarakat. merancang dengan baik.

Sunday, September 6, 2009

" PENDIDIKAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK "



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T dan selawat serta salam ditujukan kepada baginda Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Syukur kehadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada saya untuk berkongsi maklumat dengan sahabat-sahabat semua mengenai isu pendidikan anak-anak. Semoga apa yang ingin saya katakan di sini dapat membantu sahabat-sahabat yang sama-sama bercita-cita untuk melahirkan anak-anak yang bersifat muttaqin kepada Allah S.W.T.

Islam telah menjelaskan kepada kita betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak sedari kecil lagi. Anak-anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang paling berharga dan tidak ternilai serta wajib dipelihara sebaik-baiknya oleh ibu bapa, ia juga sebagai pengerat kasih sayang di antara pasangan suami isteri. Dalam masyarakat kita juga orang selalu mengatakan bahawa anak-anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih yang bersih, maka ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-anak melalui pendidikan agama yang mantap sejak dari kecil lagi melalui penekanan aspek akidah, akhlak dan syariah. Matlamat pendididkan Islam pula adalah untuk melahirkan dan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam bagi mewujudkan insan yang soleh dan solehah bagi menjadikan anak-anak yang berbuat baik kepada manusia lain dengan falsafah hidupnya mencari keredhaan Allah S.W.T.

Bagi mendidik anak-anak yang soleh memerlukan seseorang pendidik ( ibu bapa ) yang soleh juga. Pepatah Arab ada menyebut “ orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan mampu memberi ”, ini bererti ibu bapa perlulah menjadi contoh tauladan yang baik serta muslim yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, Islam telah menganjurkan kepada setiap pasangan lelaki atau perempuan supaya memilih pasangan hidup yang beragama dan berakhlak. Tujuannya adalah untuk melahirkan sebuah keluarga Islam yang mampu melahirkan generasi Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah serta cemerlang kepada masyarakat.

Terdapat beberapa pendekatan dalam mendidik anak-anak:

1 ) Pendidikan melalui contoh tauladan
- merupakan pendidikan yang penting dalam mendidik dan membentuk akhlak anak-anak.
-ibu bapa memainkan peranan yang penting sebagai contoh dan ikutan buat anak-anak.
2 ) Pendidikan melalui bimbingan dan nasihat
-dengan menanamkan unsur iman dan menyentuh fitrah mereka.
3 ) Pendidikan melalui pemerhatian dan pengawasan
-sentiasa mengawasi setiap tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan budaya barat.
4 ) Pendidikan melalui hukuman
-Ibu bapa menggunakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan anak-anak, bukan untuk menghukum tetapi sebagai pengajaran agar anak-anak insaf dan tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Thursday, September 3, 2009

" BERTAFAKUR DAN BERSYUKURLAH "

Manusia diingatkan supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita sebagai hambaNya. Nikmat itu meliputi dari atas kepala dan dari bawah tapak kaki kita. " dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya ". kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air yang bersih. Ingatlah kita dikurniakan dengan mempunyai dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, maka gunakanlah nikmat Allah itu sebaik yang mungkin dalam melaksanakan amal kebajikan kepada Allah S.W.T. Adakah menjadi satu masalah bagi kita sekiranya kita tidak mampu berjalan dengan menggunakan kedua belah kaki, bagaimana jika kedua-duanya kudung? Adakah satu hal yang kecil bagi kita yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahan sakit yang menimpa dirinya? Adakah kita tidak berasa bersyukur dengan nikmat Allah apabila dihidangkan dengan makanan yang lazat dan minuman yang sedap-sedap, tidak tersentuhkah hati kita apabila ada manusia lain yang hidup dalam kemiskinan dan kebuluran, maka wajiblah bagi kita mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita...

sesungguhnya kita sedang dilimpahi oleh Allah dengan nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi kita tidak menyedarinya. mengapa kita bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama kita mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur dengan lenanya tanpa sebarang gangguan, dan sihat tubuh badan? kita terus menangisi apa yang telah hilang dari kita, bukan mensyukuri apa yang sudah kita punyai. kita susah hati apabila ujian menimpa kita seperti mengalami kerugian harta benda, sedangkan di tangan kita ada anak kunci kebahagiaan, gudang kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain..berfikir dan renungkanlah bahawa setiap ujian yang melanda diri kita itu merupakan ujian dari Allah untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T...