BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, September 7, 2009

" KEINDAHAN SIFAT SABAR "

Ketakwaan kepada Allah menuntut kita agar mempunyai sifat sabar dan menguatkan kesabaran kita sepanjang masa. Tanpa sabar mustahil seseorang manusia itu dapat mencapai ketaqwaan yang tinggi terhadap Allah. Sabar merupakan sifat mahmudah yang perlu ada pada setiap manusia. Bersabar merupakan ciri2 orang yang menghadapi pelbagai kesusahan dengan berlapang dada, kemahuan yang kuat serta ketabahan yang luar biasa.


Pertama – Sabar melaksanakan perintah Allah dan suruhannya
Kedua – Bersabar terhadap larangan Allah dan meninggalkannya
Ketiga – Bersabar ketika berhadapan dengan ujian Allah di atas muka bumi ini


Ketika kita berusaha melaksanakan segala suruhan Allah, sifat sabar itu amatlah penting kerana kesempurnaan amal dan pekerjaan yang berkualiti akan terhasil dengan kesabaran. Kita akan meninggalkan solat lima waktu, kalau kita tidak sabar, kita tidak akan melakukan puasa dibulan Ramadhan, sekiranya kita tidak sabar, maka kita tidak sanggup berdakwah. Jika kita tidak sabar, maka segala amalan-amalan dan pekerjaan tidak akan terlaksana. Kalau tidak disertai dengan kesabaran, walaupun kita amalkan suruhan Allah, kemungkinan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, jika kita berwuduk, wuduk yang tidak sempurna, jika kita mengangkat takbiratulikhram, kita bertakbir dengan cara yang tidak sempurna. Jika kita ruku' dan sujud, maka kita ruku' dan sujud dalam keadaan tidak sempurna. Kerana kita inginkan agar selawat kita cepat selesai walaupun kurang atau tidak sempurna.


Begitulah juga dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Ramai pendakwah dan pendidik yang kurang sabar dengan kerja-kerja kebaikan itu. Cepat marah dengan telatah orang-orang yang di dakwah dan didik itu. Kita lihat sekarang berapa ramai para pendidik dan pendakwah yang hilang ilmu psikologinya, hilang ilmu komunikasinya, hilang ilmu metedologi dakwahnya lantaran kerana tidak sabar dengan karenah dan halangan-halangan daripada orang-orang yang didakwahkannya atau didikannya.


Di dalam kerja-kerja dakwah dan pendidikan sepatutnya para pendidik dan pendakwah perlu banyak bersabar. Bersabar menghadapi dugaan dan rintangan dan bersabar menanti kejayaan. Kita perlu contohi sikap para nabi dan rasul dalam menjalankan tugas mereka berdakwah. Sebagaimana penjelasan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. , yang bermaksud : aku masih terbayang Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi daripada nabi-nabi sebelum Rasulullah yang disiksa (pukul) oleh kaumnya hingga berlumuran darah. Dia mengesat darah mukanya sambil membaca, yang bermaksud ya Allah ampunilah kaumku oleh kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.


Keindahan sabar ini terbukti apabila kita berjaya menjauhkan diri dan mencegah diri daripada mengerjakan perkara-perkara mungkar walaupun kita berpeluang melakukannya. Ramai orang yang mendakwa bahawa dirinya akan bersabar dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dakwaan ini mungkin benar ketika kita tidak berpeluang melakukan kejahatan. Tetapi bagaimana kalau sekiranya kita berpeluang malah diberi tawaran dan kemudahan untuk melakukan kemungkaran . Kita tidak melakukan zina kerana kita tidak berpeluang melakukannya, Kita tidak melakukan pecah amanah, ketika kita tidak berpeluang melakukannya. Tetapi apakah kita tidak akan melakukan zina dan pecah amanah walaupun kita berpeluang atau diberi tawaran melakukannya?


Walaubagaimanapun janganlah kita meminta kepada Allah agar kita diuji kesabaran dan keimanan kita kerana kemungkinan kita tidak dapat bersabar sebagaimana yang dikehendaki.
Satu perkara lagi yang amat dituntut agar kita benar-benar bersabar ialah ketika kita menghadapi musibah. Kita dianggap orang yang berjaya apabila kita benar-benar bersabar dalam menghadapi musibah. Musibah ini ialah apa sahaja perkara yang kita tidak suka, tidak senang dengannya. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Kita kurang senang dan tidak sabar apabila kita gagal mendapat sesuatu atau kita kehilangan sesuatu atau terkurangnya sesuatu hak milik kita.

Tidak sabar menghadapi musibah ini menyebabkan ramai dikalangan kita merasai hidupnya tertekan, putus asa, jiwanya selalu memberontak, marah dengan qada' dan takdir Allah, rendah diri dan sebagainya. Tetapi alangkah indahnya hidup seorang yang beriman, sentiasa bersabar menghadapi dugaan dan ujian Allah. Dan sentiasa bertawakal kepada Allah subhanahua ta'ala.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156
Maksudnya : " (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan (musibah) mereka berkata (sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali) "
Kesimpulannya di sini, sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah bersabar supaya dirahmati Allah diberi kemenangan di dunia dan akhirat.

0 comments: